penduduk kampung

Sunday, November 14, 2010

sayangi ayah dan ibu walau bagaimana pun mereka....


Ibu, kau ratu hatiku. Ayah, kau pahlawan jiwaku……

"Jauhnya akak termenung. Ingatkan apa tu?" soal ibu yang tiba-tiba datang ke bilikku.

"Takda apa lah ibu. Akak rasa mengantuk, jadi mengelamun pulak," jawabku.
"Mengantuk dengan mengelamun mana sama la sayang. Hmm,jangan lama-lama mengelamun tu, kejap lagi kita nak pergi berbuka di rumah ayah," pesan ibu lalu keluar dari bilikku.

Ibu, membesarkan aku, abang dan adik-adikku seorang diri. Ayah telah menceraikan ibu ketika aku berusia sepuluh tahun. Terlalu muda untuk aku memahami masalah rumahtangga yang melanda masjid yang ibu dan ayah bina selama 16 tahun. Aku cuma mampu melayari kehidupan yang serba kekurangan dan membesar tanpa kasih dan sayang seorang ayah.

Walaupun kami ditinggalkan ayah sewaktu masih kecil tapi di hati kami tidak pernah terlintas sedikit pun perasaan marah terhadap ayah. Kami sering didengarkan dengan cerita-cerita baik tentang ayah dari ibu. Bila kami soal tentang penceraian ibu dan ayah, ibu cuma mahu kami terima itu sebagai takdir dan jangan sesekali menyalahkan ayah. Betapa baik hati ibu walaupun telah ditinggalkan dan terpaksa menjaga kami tanpa mendapat nafkah dari ayah.

Kami semakin dewasa dan sudah mengenal erti kehidupan. Kami sudah faham situasi yang melanda ayah dan ibu sehingga membawa mereka kepada penceraian. Aku mula menyimpan rasa marah terhadap ayah. Marah apabila aku mendapat tahu bahawa ayah menceraikan ibu untuk berkahwin dengan wanita lain yang merupakan seorang janda. Sanggup ayah melepaskan ibu menjadi seorang ibu tunggal kerana wanita lain. Dimana cintanya ayah pada ibu? kemana hilangnya sayang ayah pada ibu dan anak-anaknya? Aku memang menyalahkan ayah atas kesengsaraan hidup yang ayah tinggalkan untuk kami anak-beranak.


Betapa kami terpaksa merantau ke merata tempat untuk membina kehidupan. Berpindah-randah sudah menjadi kebiasaan kami. Bermacam-macam pekerjaan juga yang ibu lakukan untuk menampung perbelanjaan dan persekolahan kami. Sayu hatiku tatkala aku dan Faqeh, adikku yang ketiga menemankan ibu sewaktu ibu bekerja sebagai penyapu sampah di taman-taman rekreasi. Ibu tidak mengira penat lelah, malah di bulan puasa juga ibu tetap bekerja dan membuat kuih untuk mendapatkan wang tambahan. Betapa sabarnya ibu menempuh dugaan hidupnya. Mungkin kami adalah kekuatannya dan bagi kami, ibulah segala-galanya bagi kami. Kekuatan ibu adalah kekuatan kami, kedukaan ibu juga kedukaan kami. Ibu sering berpesan agar kami belajar bersungguh-sungguh dan jadi seorang yang berjaya agar tidak jadi sepertinya yang terpaksa bersusah payah mencari pekerjaan.


Dengan semangat ibu yang mengalir dalam darah kami, kami empat beradik berusaha belajar dengan tekun untuk berjaya dan mengubah nasib keluarga kami. Aku lupakan ayah walaupun ibu menegah aku melakukannya. Mungkin dalam keluarga ini aku yang paling degil dan paling gemar mengikut perasaanku sendiri. Aku tidak peduli apa yang dipesan ibu, aku tidak endah apa yang dinasihat oleh abang. Namun aku terpaksa akur dengan kehendak Illahi. Beginilah tertulisnya takdir untuk keluargaku. Aku harus menerima ayah dan keluarga barunya walaupun perit hati menahan sebak melihat ayah menbelai anak tirinya. Apa kurangnya kami darah dagingnya sendiri? Tidak teringinkah dia untuk memeluk dan menyayangi kami?


Sudah sepuluh tahun berlalu. Faez, abangku yang berjaya melanjutkan pelajarannya ke universiti dan kini sudah bekerja sebagai seorang jurutera. Aku pula kini sedang meniti hari-hariku sebagai seorang pelajar perubatan di salah sebuah pusat pengajian di Pulau Pinang. Kehidupan kami bertambah baik. Rezeki kami murah dan kami sentiasa diberi perhatian oleh saudara mara dan jiran tetangga. Alhamdulillah, abang menjadi seorang ketua keluarga yang sangat bertanggungjawab walaupun dia terpaksa memikul tanggungjawab itu dari usia yang muda. Abang menjaga ibu, aku dan adik-adik dengan cukup kasih sayang dan sabar. Betapa aku beruntung punya abang sepertinya.


Benar kata orang, setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmah disebaliknya. Dengan pengalaman hidup kami ini, kami menjadi manusia yang lebih tabah dan berdikari. Kami tidak pernah berharap untuk bersama-sama ibu ketika sesi pendaftaran persekolahan atau di universiti. Kami mampu lakukan semua itu sendiri kerana kami rasa cukup sudah pengorbanan ibu terhadap kami selama ini, jadi biarlah kami pula berusaha untuk menguruskan hidup kami sendiri. Ayah pula, semakin usianya meningkat semakin dia diberi kesedaran tentang apa yang telah dilakukannya pada kami dulu. Pernah dia meminta ibu untuk berkahwin semula dengannya namun ibu menolak dengan alasan ibu tidak mahu mengacau rumahtangga ayah dan isterinya. Aku kagum dengan ibu. Tentu ramai juga yang kagum melihat ketabahan seorang ibu tunggal membesarkan anak-anaknya sendiri. Itulah dia ibuku.


Usiaku yang mencecah 20 tahun ini akan ku manfaatkan sebaik mungkin untuk berbakti kepada ibu dan keluargaku. Aku akan belajar dengan baik dan mendapatkan segulung ijazah yang membolehkan aku mencari pekerjaan yang bagus agar dapat memberikan keselesaan kepada ibu dan membalas jasa ibu. Tidak kulupakan ayah. Aku sudah mampu mengikis rasa marah terhadapnya dari dalam hatiku. Mungkin kerana penyesalan yang ditunjukkannya membuatkan aku sedar, tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan. Kehidupan ayah juga kulihat agak susah. Rumahnya yang kecil untuk memuatkan penghuni melebihi lima orang dan persekitaran yang tercemar membuatkan aku menyesal kerana pernah membenci ayah suatu ketika dahulu. Kesihatan ayah juga sering terganggu lalu ayah terpaksa berhenti kerja. Kini, ayah hanya melakukan kerja-kerja ringan untuk menampung kehidupan dan dibantu oleh ibu tiriku.


Memang kehidupan kita ibarat roda. Setiap apa yang kita pernah lakukan dahulu kita pasti akan mendapatkannya semula. Begitu juga dengan ayah. Bukan niatku untuk mentertawakan kesusahan ayah, aku cuma mengingatkan diriku sendiri untuk lebih bertindak rasional dalam menentukan kehidupan.


"kita berkongsi ibu yang sama. Kita berkongsi ayah yang sama. Akak tak sanggup melihat ibu mengalirkan airmata kerana kesalahan dan kedegilan kita. Biarlah ibu menangis kerana melihat kejayaan kita, melihat kita jadi manusia yang berguna."

Itu pesanku kepada adik-adikku tiap kali aku melihat ibu bersedih. Aku yakin, mereka juga tidak sanggup melukakan hati ibu. Cukuplah aku yang dahulunya degil dan keras kepala. Kini, aku mahu menjadi seorang anak yang membahagiakan hati ibu dan ayahnya.

Memandangkan ini tahun keduaku di universiti ini, maka terdapat banyak perkara yang harus aku lakukan. Kadangkala sehingga dua bulan aku tidak pulang ke kampung menjenguk ibu dan adik-adik. Hanya abang saja yang sering ku temui kerana abang bekerja di Pulau Pinang. Seringkali abang mengajakku untuk kerumah ayah, menjenguk ayah tapi hatiku rasa malu dan tidak rela untuk kesana. Aku tidak sanggup untuk bersemuka dengan ayah kerana rinduku yang membuak membuatku mengalirkan airmata setiap kali berhadapan dengan ayah. Aku rindukan pelukan ayah, aku rindukan panggilan ayah untukku. Airmata bergenang di tubir mataku sewaktu pertama kali bersalaman dengan ayah setelah beberapa lama ditinggalkan ayah. Tangan itulah yang sering aku rindukan setiap pagi sebelum kesekolah. Aku hanya akan pergi kerumah ayah jika ibu ada bersama. Aku perlukan kekuatan ibu untuk berhadapan dengan ayah. Ketabahan ibu membolehkan aku tersenyum di hadapan ayah. Dan mungkin inilah juga berkat kesabaran dan kerendahan hati ibu, ibu tiriku tidak pernah sekali pun menunjukkan rasa janggal terhadap kami setiap kali kami bertemu. Dia melayan kami dengan baik dan menganggap kami seperti keluarganya. Akhirnya aku dapat melihat sebuah keluarga besar yang bahagia dan ada aku di dalamnya yang sedang merasai kebahagiaannya. Aku rasa cukup bertuah dan seolah-olah penderitaan dan kesengsaraan kami selama ini sudah berbayar dengan kebahagiaan ini.


Namun, siapa dapat menduga apa yang akan berlaku kelak. Siapa dapat melihat kebahagiaan yang tidak berpanjangan. Memang aku akui, aku semakin sibuk dengan tugasan-tugasan dan aktiviti di universiti sejak akhir-akhir ini. Aku cuma berkesempatan untuk menelefon ibu dan adik-adikku. Aku juga sering menelefon ayah untuk bertanyakan khabarnya. Tidak dinafikan tahap kesihatan ayah semakin merosot. Aku risau namun aku harus optimis. Aku harus yakin bahawa ayah cuma sakit biasa ataupun sakit tua. Aku sering juga menasihati ayah berdasarkan ilmu-ilmu perubatan yang telah aku pelajari.


Tersentak aku dari lamunan tatkala telefon bimbitku berdering. Ku lihat nama yang terpampang `abang', lalu segera ku jawab.


"Assalamualaikum, kenapa abang? Pukul berapa nak ambil ni?" soalku sebaik panggilan kujawab.

"Waalaikumsalam. Akak, ibu mana?" soal abang tanpa menghiraukan pertanyaanku.
"ibu ada tengah siapkan makanan nak bawa ke rumah ayah nanti. Abang jadi ambil tak ni?" soalku lagi.
"Akak, kalau abang beritahu ni akak kena tenang je boleh?" Pinta abang. Hairan.
"Abang ni buat akak takut la. Apa abang nak beritahu ni?" jawabku.
"Ayah..tadi abang dapat panggilan dari makcik, dia beritahu yang aya…..,"
"Kenapa dengan ayah? Ayah sakit ke abang? Cepat beritahu akak." Aku cemas. Hatiku sudah mula gelisah. Terbayang pelbagai kemungkinan yang berlaku pada ayah.
"Ayah masuk hospital. Serangan jantung."
"Ibu!!!!!!!" jeritku memanggil ibu.
Bergegas ibu dan dua adikku datang ke bilikku. Kelihatan ibu sangat cemas mendengar jeritanku.

"Ayah.. ibu… Ayah masuk hospital bu. Ibu kenapa dengan ayah bu," beritahuku dalam esakan. Lalu ku berikan telefon bimbitku pada ibu.

Aku tidak mampu menahan airmata dari gugur. Aku tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku pada ayah. Aku tidak rela melihat ayah sakit. Aku tidak rela terpisah dari kasih ayah lagi.
"Faez, kenapa ni. Kenapa dengan ayah?" soal ibu pada abang. Aku terus-menerus menangis.
"Ayah kena serangan jantung bu. Selepas asar tadi ayah terus dikejarkan ke hospital. ibu tunggu ya. Lagi 10 minit abang sampai ambil ibu dan adik," jawab abang.
"Ya, kamu hati-hati memandu," pesan ibu lalu talian dimatikan. Ibu juga mengalirkan air mata. Hati mana yang tidak sedih mendengar khabar berita seumpama itu. Kelihatan kedua-dua adikku diam tanpa berkata sepatah pun.

Hatiku terlalu gusar. Resah. Lalu aku terus mengambil wudhuk dan melakukan solat hajat. Memohon kepada Allah agar semuanya berada dalam keadaan yang selamat. Aku memohon dengan sepenuh jiwaku di sujud akhirku. Aku berdoa dengan penuh pengharapan. Banyaknya airmata yang mengalir tidak terkira.


Seusai solat, aku keluar untuk mendapatkan ibu. Namun, hatiku menjadi sayu apabila melihat Farisha adikku yang bongsu duduk di beranda rumah sambil teresak-esak. Lalu aku pinta Faqeh untuk menenangkannya. Aku melihat ibu sedang membungkus makanan untuk dibawa bersama nanti sebagai persediaan sekiranya kami tidak sempat singgah dimana-mana untuk berbuka. Ibu menyuruhku dan adik-adik bersiap. Aku pergi mendapatkan Farisha dan Faqeh. Kini, kulihat kedua-duanya menangis. Lalu ku peluk mereka dan menenangkan mereka. Saat itu kedengaran bunyi kenderaan yang masuk ke halaman rumah kami. Abang telah sampai dan kami harus segera bertolak agar kami dapat sampai seawal mungkin.


Ketika kami semua siap dan bersedia untuk bertolak, telefon abang berdering. Ibu tiriku menelefonnya. Aku berdebar. Berita apa pula kali ini. Kami hanya berdiam sahaja mendengarkan perbualan abang di telefon. Ku lihat wajah abang keruh, penuh dengan tanda tanya bagi kami. Talian dimatikan dan kami segera bertanyakan perihal yang diberitahu ibu tiriku tadi.


"Mak cik beritahu ayah dah kritikal. Dia minta kita cepat datang," beritahu abang sambil kakinya terus memijak pedal minyak agar kereta bergerak lebih laju. Aku lihat adik-adikku. Mereka kelihatan sugul dan hampir mengalirkan airmata.

"Faez, jangan laju sangat. Keselamatan kita kena fikir juga. Sabar nak. Tawakkal pada Allah," pesan ibu menenangkan abang.

Namun abang tidak sedikitpun menghiraukan nasihat ibu. Kami semakin hampir dengan hospital.Dia terus memecut sehingga tiba di satu selekoh…

" Abang kereta tu!!," jerit Faqeh mengejutkan semua orang di dalam kereta.
" Ya Allah!!," hanya itu yang sempat ku dengar dari ibu sebelum kereta kami terbalik dan pandanganku menjadi kelam.

****************************************************************************************************


Aku tersedar. Ku lihat sekelilingku. Ya, aku pasti aku berada di hospital. Kepalaku terasa begitu sakit. Aku mengingati kembali kejadian yang membuatkan aku terlantar di atas katil ini. kemalangan yang terjadi atas ketidaksabaran abang. Aku teringat abang, ibu dan adik-adikku. Bagaimana keadaan mereka dan yang paling aku khuatir, bagaimana keadaan ayah. Adakah ayah sudah melepasi saat-saat kritikalnya.


Aku keluar untuk mencari ibu dan yang lain. Tiba-tiba seorang jururawat menegurku.

"Awak tak boleh berjalan lagi macam ni. Awak patut berehat dulu," pesan jururawat tersebut.
"Macamana keadaan ibu, abang dan adik-adik saya?" soalku pada jururawat tersebut.
Tiba-tiba datang seorang doktor lelaki mendekati kami. Wajahnya penuh berkeyakinan memang gaya seorang doktor. Dia dan jururawat yang menegurku sebentar tadi berbincang sesuatu. Aku tidak dapat mendengarnya namun aku yakin ada sesuatu yang ingin disampaikan padaku.
"Cik Farahen, kami minta maaf, tapi kami dah cuba sedaya upaya kami. Kami harap cik dapat bersabar dengan apa yang terjadi," ujar beliau dengan nada tenang.
"Kenapa dengan keluarga saya, doktor?"
"Kami tak dapat selamatkan ibu awak. Dia tersepit dan kecederaannya terlalu serius. Saya harap cik tabah." satu kenyataan yang amat meluluhkan jiwa.
Ya Allah, apakah yang aku dengar ini benar-benar berlaku? Adakah aku berada di alam realitiku kini? Ibu, tunjukkan dirimu sekarang ibu, tunjukkan bahawa apa yang diberitahu mereka ini bohong belaka. Beritahu aku bahawa aku sedang bermimpi. Ibu…
Aku terduduk lesu di bangku pelawat. Sukar untuk aku menerima realiti ini. Dari jauh ku lihat Farisha dan Faqeh datang ke arah ku sambil menolak abang yang duduk di atas kerusi roda. Wajah mereka muram dan sayu. Ku peluk adik-adikku dengan erat. Mengalir airmata ku buat kali yang keberapa kali aku sendiri tidak pasti. Aku harus kuat kerana kekuatan ibu masih ada dalam diriku walaupun ibu telah tiada.
"Ibu dah takde. Kita kena kuat," ujarku dalam tangis.
"Kak, ayah pun. Ayah dah takde juga kak. Kita yatim piatu kak," beritahu Farisha sambil menangis teresak-esak.
Aku terpana. Bagaikan satu kejutan elektrik. Aku hampir rebah saat itu namun aku segera disambut oleh Faqeh. Ya Allah, kenapa Kau beri aku ujian yang sebegini berat. Aku tidak mampu untuk menanggung semua ini Ya Allah..
****************************************************************************************************
Tahun ini merupakan tahun pertama kami akan menyambut hari raya Aidilfitri dengan ayah yang dirindui. Memang tiada siapa dapat menduga setiap apa yang akan berlaku pada masa depan. Seperti aku yang tidak pernah menduga akan kehilangan insan -insan yang amat ku sayang dalam waktu yang sama. Aku tidak pernah berharap untuk berhari raya tanpa kedua-dua ibu dan ayah.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Laailahailallahu Allahu Akbar
Allahuakbar walillahilham…..
Bergetar rasa jiwa mendengar sayup takbir. Terkenang kenangan tahun lalu sewaktu kami bersama ibu ke masjid untuk sama-sama bertakbir. Ya Allah…. Kuatkan hati kami Ya Allah.. Ya Rabb, tabahkan hati kami.
Ibu, insan yang ku sayangi, kau tetap dihati ini selamanya. Pengorbananmu membesarkan kami empat beradik tidak sempat untuk kami membalasnya. Aku tidak pernah merasa kurang, ibu. Selama kita bersusah-payah aku sentiasa merasa cukup dengan melihat senyuman dan kegembiraan di wajahmu ibu.

Ayah, walaupun aku hanya sempat merasa kasih dan belaimu buat seketika, namun aku sudah cukup bangga kerana punya ayah. Aku bersyukur kerana masih sempat merasa bagaimana punya ayah, bagaimana kasih seorang ayah.


Ya Allah, semoga Kau mencucuri roh mereka berdua. Aminn..


Ayah….kasihmu yang ku rasa walau sementara itu akan ku pastikan kekal di hatiku….


Ibu…jasa dan pengorbananmu akan ku simpan kekal di benak sanubariku…

No comments:

Post a Comment